Wednesday, August 12, 2009

BAHAYA SIHIR

BAHAYA SIHIR

Dipetik dari DARUSSYIFA.ORG


SIHIR adalah antara penyakit yang sukar untuk dikesan. Namun terdapat beberapa cara untuk mengenalpasti apakah penyakit yang dialami itu berpunca daripada sihir.
Tidak semua penyakit yang disebabkan oleh gangguan makhluk halus berpunca daripada sihir kerana ada kalanya ia berpunca daripada gangguan 'tumpangan'.

Kenapa makhluk halus mengkhianati manusia serta apakah amalan untuk mengelakkan sihir?

Pertembungan kepentingan antara manusia dan makhluk halus, terutama penerokaan kawasan pembangunan oleh manusia, kerapkali menimbulkan konflik.
Pada zaman mutakhir terdapat banyak tempat terokaan baru manusia sama ada di hutan, di kaki-kaki bukit dan di sungai-sungai menimbulkan perkara-perkara ganjil, termasuk gangguan makhluk halus.

Biasanya selepas diterokai, berlakulah gangguan-gangguan yang ganjil ke atas manusia dan gangguan ini datangnya daripada makhluk halus yang bertindak balas kerana kepentingannya diganggu oleh manusia.

Gangguan makhluk halus itu ada kalanya mempengaruhi mental dan jiwa manusia hingga menyebabkan mereka hilang kewarasan.

Perkara ini tidak dapat dinafikan kerana dalam beberapa hal ia terbukti wujud hasil interaksi manusia dengan makhluk halus yang menimbulkan gangguan tersebut. Bagaimanapun terdapat juga penganiayaan makhluk halus ke atas manusia berlaku kerana sikap zalim manusia yang lain. Mereka menggunakan makhluk halus sebagai perantaraan sihir, sama seperti yang saya kategorikan sebagai nafath dulu. Nafath adalah lambang sihir.

Sihir dilakukan oleh manusia kepada manusia yang lain dengan perantaraan makhluk halus, biasanya bertujuan menimbulkan kesakitan, seksaan, mengganggu rumah tangga, menimbulkan rasa permusuhan. Ilmu sihir ini sengaja menggunakan makhluk halus untuk menganiaya dan merosakkan kehidupan manusia kerana didorong oleh perasaan zalim.

Terdapat juga gangguan yang terjadi kerana makhluk halus sememangnya sentiasa dengki, hasad dan ingin mengkhianati manusia. Makhluk halus yang paling jahat ialah Ifrit.

Untuk menentang gangguan ini manusia hendaklah sentiasa beramal dengan ayat Kursi. Para sahabat melalui sebuah hadis mengamalkan doa dengan mengangkat dua tangan dan membaca tiga Qul iaitu Al-Ikhlas, surah Al-Nas dan Al-Falaq sebanyak tiga kali dan ditiup ke tangan. Selepas itu sapu ke badan bermula di muka, kepala dan kemudian barulah tidur.

Untuk mengelakkan perkara-perkara yang buruk, menjelang senja pintu rumah hendaklah ditutup dan anak-anak kecil hendaklah berada di dalam rumah kerana waktu itu syaitan yang jahat suka mengganggu manusia.Sekiranya berjalan malam, apabila tiba di pintu rumah hendaklah ucapkan salam walaupun tidak ada orang kerana ahli rumah adalah kita sendiri.

Ada hadis yang meriwayatkan supaya membaca lima ayat awal surah Al-Baqarah diikuti dengan ayat 255, 256 dan 257 dan diakhiri dengan tiga ayat akhir surah yang sama. Bacaan ini dikenali dengan nama Khawatim Al-Baqarah.

Mengenalpasti sihir


PENYAKIT terbahagi kepada dua jenis iaitu rohani dan jasmani. Sakit jasmani biasanya dikenali dengan beberapa tanda yang jelas seperti luka, patah dan sakit kepala.

Sakit yang menyerang rohani pula seperti gangguan jiwa, runsing, hilang semangat dan malas beribadat.

Tetapi tidak dapat dinafikan ada beberapa penyakit rohani dan jasmani yang berpunca danpada gangguan syaitan.

Ada dua kaedah mengenalpasti penyakit yang berpunca daripada gangguan syaitan.

Pertama, biasanya sebelum sakit manusia akan mengalami mimpi yang menggerunkan atau ternampak benda-benda yang ganjil dan menakutkan contohnya mimpi berada ditempat yang tinggi atau melihat ular.

Kedua, penyakit mungkin terjadi kerana adanya faktor 'tumpangan' terhadap penyakit yang asalnya berpunca daripada sakit fizikal.

Biasanya setelah 'ditumpang' oleh, gangguan makhluk halus, penyakit fizikal tersebut menjadi bertambah teruk dan sukar untuk diubati.

Sakit fizikal itu sepatutnya sembuh dengan kaedah rawatan biasa tetapi kerana gangguan jahat makhluk halus yang 'menumpang' penyakit tersebut terus merebak dan tidak pulih walaupun diubati berkali-kali.

Sakit fizikal yang berpanjangan ini mungkin terjadi kerana adanya faktor 'tumpangan'.

Ilmu hitam yang diamalkan oleh manusia juga menjadi sebahagian daripada penyakit yang berpunca daripada gangguan jahat makhluk halus.

Contohnya seperti sakit kepala yang sepatutnya sembuh apabila diubati dengan cara biasa tetapi akibat gangguan itu, kesannya berpanjangan dan sukar disembuhkan. Apabila mengalami gangguan yang begini adalah tidak mustahil manusia terkena sihir.

Sihir amat berbahaya kerana serangan jahatnya mungkin bermula dengan sakit yang ringan tetapi boleh merebak dan menyebabkan berlakunya lumpuh. Sihir juga boleh menyebabkan penyakit yang dialami berubah-ubah dari satu tempat ke satu tempat yang lain di anggota badan.

Malah, serangan sihir boleh berubah ubah dari seorang individu ke individu yang lain. Contoh penyakit mungkin pada mulanya terkena pada ibu tetapi kemudian berpindah kepada suami atau anak-anak.Bagaimanapun, kaedah rawatan Darul Syifa' tidak akan menekankan kepada mencari siapa yang melakukan sihir.Saya tidak menggalakkan berlakunya syak wasangka sesama orang Islam kerana itu berdosa.

Saya menasihatkan pengamal-pengamal perubatan Islam supaya tidak menimbulkan cara rawatan untuk mencari siapa yang melakukan sihir dengan menggunakan pendekatan 'isyarat' seperti 'orang itu agak tinggi, 'rambutnya kerinting' atau 'dia salah seorang saudara anda'.

Kaedah memberikan bayangan seperti itu untuk mencari orang yang disyaki melakukan sihir akan menimbulkan keadaan saling tuduh-menuduh dan mungkin membawa kepada fitnah.

Suasana ini akan memecah-belahkan masyarakat Islam dan akan menimbulkan kesan psikologi yang lebih dahsyat kepada pesakit bila ia menyimpan perasaan meneka-neka siapakah yang tergamak melakukan sihir ke atas dirinya.

Tentu amat mengecewakan bagi seseorang sekiranya dia menyedari dirinya tersihir dan kemudian melalui gambaran pengamal perubatan. orang yang disyaki adalah saudara-maranya sendiri.

Saya menekankan kepada cara merawat dan melupakan sama sekali usaha-usaha untuk mencari siapakah yang melakukan sihir.

Yang penting kita ingin menyembuhkan penyakit dan bukan mencari siapa yang melakukan sihir. Tersalah tuduh menyebabkan dosa fitnah yang berpanjangan..

Oleh Dato Ustaz Haron Din

1 comment:

  1. waah bahaya juga ya sihir ni hehe
    btw,mampir disini juga ya gan,bnyk tips trik menarik http://how-yourblog.blogspot.com/

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails